BERAS LAILA
Pengertian Laila
'Laila" adalah suatu perkataan yang bererti adil, bahagia, baik. Ianya juga digunakan untuk menunjukkan sesuatu kesayangan yang menarik perhatian, berkesan dihati, nyata kebisaiannya, menyerlah kecantikannya, merupakan amat baik, berkebolehan, amat cantik, amat elok (elok dipandang mata), amat segak dan bergaya (gaya yang sempurna), gagah, berani, tersusun rapi dan adil laila bahagia. Contoh perkataan laila yang digunakan untuk menunjukkan keistimewaannya adalah seperti berikut iaitu, laila perkasa, laila bangsawan, laila setiawan, laila dermawan, laila kebajikan, laila berkesan, laila insan, laila jamput, laila bihar, laila budi, laila setuju, laila fikiran, laila wahai dan sebagainya. (Sumber: Pusat Sejarah, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan).
Beras Laila
Pengeluaran padi/beras bagi varieti baru ini telah diusahakan oleh Jabatan Pertanian dan beberapa pengusaha padi sejak tahun 2006 dimana didapati prestasi dan hasil varieti ini adalah memuaskan iaitu sekitar 3 metrik tan (mt) sehektar berbanding dengan varieti tempatan yang ditanam pada masa ini yang hanya dapat dihasilkan setahun sekali iaitu kira-kira 1 mt sehektar.
Varieti ini juga adalah dari jenis varieti padi yang rendah, tidak mudah rebah dan boleh ditanam dua kali setahun. Varieti ini berasal dari International Rice Research Institute di Republik Filipina dengan nama asal IR67406-6-3-2-3. Sebelum ini, Jabatan Pertanian merujuk varieti ini sebagai BDR1 (Brunei Darussalam Rice One) bagi pengenalan awal.
Keterangan Nama Beras
'Laila' merupakan bahasa Melayu Brunei yang bermaksud tersangat (perihal kebaikan, adil, bahagia, baik). Perkataan 'Laila' dipilih bagi memperingati titah pertama Kebawah Duli Yang Maha Mulia paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sewaktu baginda menaiki takhta pada 5 Oktober 1967 yang berbunyi:
"...maka Beta selaku Sultan dengan sedaya-upaya Beta akan berusaha pada menjalankan dasar-dasar Paduka Ayahanda dan akan sentiasa memelihara keamanan, ketenteraman dan laila usaha bagi kemakmuran negara serta memelihara dan mengharumkan nama baik negeri Brunei Darussalam juga mementingkan laila usaha meninggikan taraf kehidupan rakyat melalui laila rancangan dan kesejahteraan perkembangan negara yang telah dan sedang dibuat oleh Paduka Ayahanda dahulu, dan mudah-mudahan dengan izin Allah, Beta juga sentiasa akan menjaga dan memelihara dengan tidak kendur-kendurnya laila usaha mengenai ugama Islam benar-benar dan Adat Istiada Negeri Brunei"
Keterangan daripada Dayang Mardiah binti Haji Ramli
Pemenang Pertandingan Mencipta Nama Beras
Anjuran Jabatan Pertanian
Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama
Pemenang Pertandingan Mencipta Nama Beras
Anjuran Jabatan Pertanian
Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama
Ciri-Ciri Padi / Beras Laila
Ketinggian Pokok (cm) | 95-100 |
Tempoh Kematangan (hari) | 105-110 |
Kelas Kematangan | Matang Awal |
Timbangan 1000 butir/biji (g) | 26.2 |
Purata Hasil (tan/ha) | 5.0 - 6.8 |
Bentuk & Saiz biji | Beras Panjang |
Ketahanan Terhadap Zat Besi | Sederhana Rintang |
Reaksi terhadap fotokala | Tidak peka terhadap fotokala |
Beras Laila ini mempunyai nutrien mikro yang lebih berpatutan, kandungan karbohidrat dan serat (nutrien makro) yang rendah dan kandungan protein yang lebih tinggi berbanding dengan beras Hom Mali (Thai). Beras Laila ini juga setanding dengan beras tempatan yang lain seperti beras Pusu dan beras Adan dalam kandungan tenaga, lemak, karbohidrat dan serat manakala kandungan proteninya lebih tinggi berbanding kandungan protein beras tempatan.
Kandungan Nutrien (Per 100g bahagian yang dimakan) | |
Tenaga (Kcal) | 353 |
Air (g) | 11.3 |
Protein (g) | 8.2 |
Lemak (g) | 1.0 |
Karbohidrat (g) | 77.8 |
Serat (g) | 0.2 |
Abu (g) | 1.5 |
Excerpt from DEPARTMENT OF AGRICULTURE AND AGRIFOOD, Ministry of Industry and Primary Resources.
No comments:
Post a Comment